Kota Kinabalu: Bekas atlit Olimpik negara, Datuk Dilbagh Singh Kler, yang juga atlit terkemuka Sabah, meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Queen Elizabeth 2 (QEH 2), awal pagi semalam.
Mendiang, 76, meninggalkan seorang isteri, Datin Amrit Kaur Kler, 62, dengan tiga anak iaitu Jaswinder Kaur Kler, 39, bekas wartawan New Straits Times Kota Kinabalu, Harjinder Kaur Kler, 36, dan Parvinder Singh Kler, 35, dan seorang cucu.
Dilahirkan di Kota Kinabalu pada 14 April 1936, mendiang meninggal dunia kira-kira jam 5 pagi, selepas menerima rawatan sejak seminggu lalu.
Mendiang yang bersara sebagai pegawai sukan dan jurulatih di Kementerian Belia dan Sukan negeri pada 1991, aktif dalam sukan olahraga hingga mendapat gelaran 'The Flying Sikh' selepas mewakili Malaysia dalam beberapa kejohanan antarabangsa sejak 1960an.
Pada 1964 Dilbagh mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo, bersaing dalam 3,000m lari berhalangan.
Mendiang juga pemenang pingat emas dalam acara lari berhalangan 3,000m di Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) atau kini dikenali Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 1965; Bangkok (1967) dan Rangoon (1969).
0 ulasan:
Catat Ulasan